Komander tentera Thai, Thawatchat Samutsakorn berkata, dua pertempuran yang melibatkan senjata api dan bom tangan itu didakwa dimulakan Kemboja.

"Kita sekarang berhubung rapat dengan Kemboja. Walaupun kejadian berbalas tembakan berlaku, ia bukanlah pertempuran sengit seperti sebelum ini, jadi saya kira ia adalah satu keadaan yang lebih baik.

"Namun, ketegangan masih berlaku dan kita perlu mengawasi keadaan dengan rapi dalam tempoh dua tiga hari ini," katanya.

Gencatan senjata yang dipersetujui kedua-dua negara semalam sepatutnya mengakhiri pertempuran selama seminggu yang mengorbankan 16 nyawa setakat ini.

Kemboja melalui jurucakap kerajaan, Phay Siphan mendakwa, Thailand telah mencabuli gencatan senjata berkenaan dengan melancarkan beberapa tembakan mortar awal hari ini berhampiran kuil Ta Krabei di bahagian barat laut sempadan dua negara.

"Kami kesal kerana Thailand telah mencabuli gencatan senjata ini. Ia adalah satu tindakan provokasi, namun kami tidak membalas tembakan itu," katanya.

Kementerian Luar Kemboja dalam pada itu berkata, pihaknya akan meminta Mahkamah Dunia menjelaskan keputusan 1962 berhubung status kuil purba Preah Vihear yang terletak di kawasan sempadan Thai-Kemboja ketika pertempuran terus tercetus buat hari kelapan hari ini.

"Satu penjelasan oleh mahkamah amat penting bagi memastikan keamanan dan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara ini," jelas kementerian itu dalam satu kenyataan. - Reuters/dpa/AFP