Jumlah itu dilaporkan tinggi berbanding antara 2012 hingga tahun lalu iaitu purata lima orang yang direkodkan telah dijangkiti virus berkenaan.

Bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 97 orang telah dijangkiti Zika de­ngan kes terbaharu dicatatkan di Chiang Mai, Chanthaburi, Phetchabun dan wilayah Bung Kan.

Ketua Jabatan Kawalan Pe­nyakit, Dr. Amnuay Gajeena berkata, pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan penularan pe­nyakit itu dengan lebih agresif.

“Kita telah mula melaksanakan beberapa langkah ketat bagi mengawal sebarang penularan virus Zika. Pada masa yang sama, bilangan pesakit juga tidak lagi bertambah di kawasan-kawasan yang dikatakan mempunyai statistik tertinggi. Ketika ini semuanya terkawal,” katanya.

Sementara itu, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran terutama wanita yang mengan­dung supaya tidak mengunjungi Singapura, selepas sebanyak 82 kes virus Zika dilaporkan di republik itu.

Sebelum ini, Australia, Taiwan, United Kingdom dan Korea Selatan telah mengeluarkan arahan dan amaran kepada rakyatnya supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di Singapura.

Nasihat perjalanan ekoran penularan kes Zika dilihat boleh menjejaskan industri pe­lan­­co­ng­­a­n­ Singapura yang kini berdepan kelembapan pertumbuhan ekonomi.

Singapura melaporkan kes pertama Zika pada minggu lalu dan naik mendadak kepada 82 kes, dengan 26 kes terbaharu dalam tempoh 24 jam.

Susulan itu, pihak berkuasa Singapura melakukan pemeriksaan di beribu-ribu buah rumah di republik itu termasuk lima penempatan pekerja asing.

Ketika ini, virus Zika telah dikesan berlaku di 58 buah negara dengan Brazil kekal sebagai negara yang mencatatkan bila­ngan kes tertinggi. – REUTERS/AGENSI