Menurut portal Bangkok Post, serangan pertama berlaku di dae­rah Thanto apabila seorang penoreh getah ditembak mati dalam serangan hendap pada kira-kira pukul 4 petang ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mangsa dikenali sebagai Saensuk Wongsawat dan pihak polis turut menemukan 10 butir peluru raifal M16 di lokasi kejadian, menurut laporan itu.

Serangan kedua berlaku apabila sebutir bom yang ditanam di tepi lokasi kejadian diletupkan ketika pasukan penyelamat yang diiringi sepasukan polis dalam perjalanan membawa mayat Saensuk ke Hospital Thanto.

Letupan itu menyebabkan seorang anggota polis, Korporal Surachart Jaikla cedera dan kini dirawat di Hospital Yala.

Beberapa jam kemudian, dua butir bom buatan sendiri diletupkan di kawasan Ban Pathu, menyebabkan empat sukarelawan kampung cedera ketika mereka sedang melakukan rondaan di sekitar Jalan Rassadorn Samakkhi.

Siasatan polis mendapati, bom terbabit disembunyikan di dalam timbunan sampah sebelum dile­tupkan ketika pasukan peronda itu tiba di lokasi kejadian.

Empat mangsa yang cedera itu dikenali sebagai Waenuseng Purong, 46, Kariya Ake, 55, Mahamakri Yo, 41, dan Apinan Chaiseng, 27.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Yaha untuk rawatan lanjut.