“Hari ini, terdapat seorang suspek dilihat pada rakaman CCTV, namun gambarnya tidak jelas. Kami sedang memburu individu ini,’’ kata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha.

Prayuth percaya mesej daripada Facebook sejak kebelakangan ini yang memberi amaran akan bahaya di Bangkok sebelum insiden letupan itu berlaku, dibuat oleh ‘kumpulan antikerajaan’ di timur laut negara ini, yang merupakan kubu kuat pergerakan Baju Merah.

“Kami sedang memburu mereka, beberapa orang daripada mereka berada di Isaan, di timur laut Thailand,’’ katanya.

Sejak 2006, Bangkok kerap menyaksikan beberapa siri keganasan berdarah disertai dua insiden rampasan kuasa yang menyaksikan pihak tentera merampas kuasa daripada kerajaan sedia ada.

Namun, warga asing jarang menjadi mangsa keganasan yang berlaku di ibu negara ini.

Dalam insiden rampasan kuasa terbaharu pada tahun lalu, tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra selepas beberapa bulan demonstrasi jalanan dan ada kalanya bertukar ganas hingga mengakibatkan kematian dalam kalangan penunjuk perasaan.

Kebanyakan penyokong kumpulan Baju Merah merupakan rakyat luar bandar dan miskin terutamanya dari wilayah timur laut Thailand yang setia kepada Yingluck dan abangnya, Thaksin.

Pihak berkuasa menyalahkan Baju Merah ekoran beberapa siri letupan kecil di Bangkok pada awal tahun ini, dakwaan yang dinafikan oleh pergerakan tersebut. – AFP