Menurut polis, keadaan semasa kembali normal ketika pihak berkuasa mengesahkan penahanan individu pertama yang merupakan seorang aktivis politik dari Trang, menafikan laporan bahawa dua suspek telah ditahan sebelum ini.

Bangkok Post melaporkan, Prapas Rojanapithak, aktivis politik berusia 67 tahun itu ditahan oleh tentera di rumahnya di mukim Khok Muang, daerah Muang ketika suspek sedang menonton te­levisyen, pagi ini.

Anggota keselamatan kemudiannya membawa suspek ke Balai Polis Muang sebelum lelaki itu dibawa ke Kem Tentera Thao Thepkasattri Thao Srisunthorn untuk disoal siasat berhubung pengeboman di Trang semalam dan serangan kebakaran di wilayah selatan.

Penahanan aktivis itu dibuat di bawah Seksyen 44 Perlembagaan sementara, yang memberikan kuasa kepada tentera memanggil dan menahan suspek berkaitan isu keselamatan.

Turut dirampas di rumah aktivis itu adalah buku berkaitan politik dan beberapa dokumen lain.

Sementara itu, dalam sidang akhbar pagi ini, Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Pongsapat Pongcharoen berkata, pihak berkuasa sedang menganalisis bukti termasuk rakaman imej menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

“Kami sudah mengumpul sampel DNA dari tempat kejadian dan keputusannya akan diketahui dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bertanggungjawab di setiap lokasi jenayah, esok. Kami berharap dapat mengeluarkan waran tangkap tidak lama lagi,” katanya.

Beliau memberitahu, berdasarkan bukti sedia ada, keganasan tidak dilakukan secara meluas oleh pergerakan pemisah yang sering tertumpu di Yala, Pattani dan Narathiwat selain kumpulan itu jarang menjadikan warga asing sebagai sasaran.

Ujarnya, jenis bom dan kaedah letupan yang digunakan adalah sama dan penyiasat percaya serangan itu dilancarkan oleh anggota kumpulan dalang yang menyediakan bahan letupan itu.

“Kami percaya dalang masih ada di dalam negara ini,” katanya.

Sementara itu, tokoh kanan Parti Puea Thai, Noppadon Pattama menafikan pembabitan Thaksin Shinawatra sebagai dalang dalam serangan berkenaan.

“Ini adalah satu fitnah, mana-mana bekas Perdana Menteri bimbangkan negaranya dan tidak akan melakukan kejahatan seperti itu,” tambahnya. – AGENSI/REUTERS