Penasihat kepada Jabatan Kawalan Penyakit, Prasert Thong­charoen berkata, pihaknya me­nge­san dua kes membabitkan microcephaly yang dikaitkan de­ngan zika dan merupakan kes pertama di Thailand.

Prasert, bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi kes itu dikesan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam satu kenyataan memberitahu, kes zika itu yang mengakibatkan komplikasi microcephaly adalah yang pertama di Asia Tenggara.

Microcephaly merupakan kecacatan pada kelahiran yang jarang berlaku dan banyak ditemukan di Brazil akibat virus zika dan kini mula merebak ke rantau Asia Tenggara.

Pihak berkuasa kesihatan Thailand turut mengesahkan seba­nyak 349 kes zika sejak Januari lalu di negara ini termasuk 33 kes melibatkan wanita hamil.

Singapura pula merekodkan sebanyak 393 kes zika termasuk membabitkan 16 wanita mengan­dung.

Dalam perkembangan ber­kaitan, pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) menasihatkan wanita hamil di negara itu supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke 11 buah negara Asia Tenggara atas risiko zika.

Antara negara Asia Tenggara yang disenaraikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Pe­nyakit AS (CDC) adalah Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Maldives, Fi­lipina, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

CDC sebelum ini mengeluarkan amaran perjalanan ke Singapura dan menyatakan notis itu juga akan dipertimbangkan kepada negara-negara lain, sekiranya jumlah jangkitan berkenaan mencapai tahap wabak.

Kes zika yang mengakibatkan komplikasi microcephaly itu dikesan menjelang cuti panjang di China dengan Thailand menjangkakan sebanyak 220,000 pengunjung dari tanah besar China akan melawat negara berkenaan. – REUTERS