Beribu-ribu penduduk awam melarikan diri dari kedua-dua belah sempadan disebabkan pertempuran yang meletus semula selepas keadaan agak tenang selama dua bulan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa kedua-dua negara berjiran itu mengadakan gencatan senjata dan melancarkan 'dialog serius' bagi menyelesaikan perbalahan, kata seorang jurucakap Ki-moon semalam.

Penduduk kampung Thai yang berlindung di dalam khemah sementara di daerah Prasat, wilayah Surin berkata, mereka lari ketakutan meninggalkan rumah mereka apabila pertempuran meletus di daerah sempadan Phanom Dong Rak, kelmarin

"Saya mula-mula menyangka latihan ketenteraan sedang dijalankan tetapi apabila peluru meriam hampir mengenai rumah saya, saya sedar saya mesti melarikan diri," kata Somjai Lengtamdee dari kampung Baan Khaotoh.

Pegawai pentadbiran Phanom Dong Rak, Somdee Suebnisai berkata, 16 kem di kawasan itu menjadi tempat perlindungan bagi lebih 18,000 pelarian dan bilangan mereka dijangka meningkat kepada 20,000 malam ini.

Bunyi tembakan meriam kedengaran 20 kilometer dari kawasan pertempuran di sempadan sebelah Kemboja awal hari ini.

Enam askar Kemboja dan empat askar Thai terbunuh sejak pertempuran tercetus semula kelmarin.

Kedua-dua negara menuduh satu sama lain mencetuskan keganasan terbaru itu, insiden paling serius sejak Februari lalu apabila 10 orang maut dalam pertempuran dekat kuil Hindu berusia 900 tahun, Preah Vihear.

Pertempuran terbaru itu berlaku dekat sekumpulan kuil berlainan, lebih 100 kilometer dari Preah Vihear. - AFP