Menurut agensi berita Yonhap, kebanyakan penduduk tempatan membantah kehadiran treler-treler tersebut dengan memegang kain rentang dan sepanduk termasuk bertulis, ‘Tiada THAAD, Tiada Peperangan.’

Bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini, sepasukan anggota polis terpaksa dikerah ke lokasi termasuk yang menjadi laluan treler berkenaan.

Korea Selatan dan AS sebelum ini bersetuju menggunakan sistem THAAD sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani ancaman peluru berpandu balistik daripada Korea Utara.

Penggunaan sistem tersebut juga dijangka lebih awal daripada sepatutnya selepas pemangku Presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden AS, Mike Pence awal bulan ini.

Sementara itu, China dilaporkan menggesa kedua-dua negara menarik balik pemasangan peralatan THAAD beberapa jam selepas sistem berkenaan dibawa ke Korea Selatan.

Yonhap memetik kenyataan seorang jurucakap Kementerian Luar China sebagai berkata, pemasangan sistem tersebut akan menambah ketegangan di rantau itu khususnya yang melibatkan hubungan antara Korea Selatan dan China.

China sebelum ini dikatakan menentang penggunaan sistem tersebut yang dikhuatiri bakal melemahkan keupayaan pasukan tentera mereka. –AFP/AGENSI