Setakat ini, NLD meraih le­bih 90 peratus kerusi di Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen yang dipertan­dingkan, sekali gus membuka ruang kepada Suu Kyi untuk mengadakan rundingan dengan Presiden Thein Sein dan Panglima Besar Min Aung Hlaing selain speaker berpengaruh dalam Parlimen, Shwe Mann.

“Rakyat Myanmar telah menunjukkan kuasa mereka dalam pilihan raya kali ini dan amat penting untuk memenuhi permintaan mereka dengan cara yang aman.

“Saya ingin menjemput anda bertiga untuk membincangkan isu perdamaian negara pada minggu depan mengikut kesesuaian waktu masing-masing,” kata Suu Kyi menerusi surat yang dihantar kepada ketiga-tiga pemimpin tersebut.

Sementara itu, Presiden Thein Sein akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin lain sebagai memberi maklum balas terhadap permintaan Suu Kyi.

Menteri Maklumat, Ye Htut da­lam kenyataannya menerusi laman so­sial Facebook berkata, pertemuan antara Thein Sein, Suu Kyi, Aun Hlaing dan Shwe Mann hanya akan diadakan selepas proses pilihan raya selesai.

Bagaimanapun dua lagi pemimpin tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Suu Kyi buat masa ini.

Dalam perkembangan lain, Suu Kyi secara rasmi dipilih semula untuk menduduki Dewan Rakyat, antara 134 kerusi yang dimenangi parti NLD daripada 149 kerusi yang telah diumumkan setakat hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan, pemimpin ber­usia 70 tahun itu memenangi kerusi yang dipertandingkan di Kawhmu dengan meraih 54,676 undi. – AFP