Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

TERKEJUT JUMPA MAKHLUK KECIL DI HUTAN

Rakaman video yang dimuat naik dalam YouTube menunjukkan sekumpulan
RAKAMAN video yang dimuat naik dalam YouTube menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal hampir terbabas apabila ternampak makhluk dipercayai Suku Mante (dalam bulatan) di kawasan pedalaman Aceh. Agensi

ACEH - Penampakan makhluk kecil yang dipercayai manusia daripada suku Mante oleh sekumpulan penunggang motosikal di kawasan pedalaman di sini heboh diperkatakan pengguna internet di seluruh dunia, baru-baru ini.

Susuk tubuh kecil suku Mante itu berjaya dirakam oleh penunggang motosikal berkenaan dan dimuat naik dalam laman YouTube oleh pengguna bernama HZTN.

Melalui rakaman video itu, penunggang motosikal terbabit yang melalui sebuah denai dalam hutan kawasan berkenaan hampir terbabas setelah dikejutkan dengan kemunculan satu susuk tubuh yang tiba-tiba melompat dengan membawa sebatang kayu, berhampiran mereka.

Makhluk itu dilihat berlari dengan pantas, manakala seorang rakan penunggang motosikal yang membawa alat perakam cuba mengejar makhluk berkenaan.

Walau bagaimanapun makhluk itu berjaya menghilangkan diri di celah-celah tumbuhan lalang setinggi dada, namun meninggalkan kayu yang dibawanya.

Anggota kumpulan penunggang motosikal berkenaan cuba mencari makhluk aneh itu di kawasan lalang, namun gagal.

Beberapa maklumat dalam internet menyebut bahawa makhluk berkenaan yang bertubuh kecil dan rendah adalah Suku Mante yang hampir pupus dan tinggal di dalam gua di pinggir sungai di kawasan pedalaman Aceh.

Harian Kompas pernah menyiarkan artikel tentang makhluk tersebut pada 18 Disember 1987 dengan tajuk Ditemukan Lagi, Suku Mante di Daerah Pedalaman Aceh.

Seorang pawang hutan, Gusnar Effendy menemukan suku Mante yang hidup di kawasan hutan belantara pedalaman Lokop, wilayah Aceh Timur dan pernah bertemu dengan makhluk berkenaan di hutan sekitar Oneng, Pintu Rimba dan Rikit Gaib di wilayah Aceh Tengah dan Tenggara.

“Lazimnya mereka tinggal di dalam gua dan kawasan gunung. Pada waktu siang, mereka akan berada di alur-alur sungai dalam kawasan lembah,” kata Gusnar dalam artikel berkenaan.

Antara gua yang menjadi kediaman suku berkenaan ialah Gua Bete, Jambur Atang, Jambur Ketibung, Jambur Ratu dan Jambur Situpang.

Suku Mante memiliki tubuh rendah dengan ketinggian sekitar satu meter, berambut panjang sehingga punggung dan sebahagiannya tidak memakai pakaian.

Mereka memiliki kulit cerah, tubuh berotot dan kasar serta raut wajah bersegi dengan dahi yang sempit, manakala dua alis mata mereka bertemu pada pangkal hidung dan kelihatan pesek.

Berdasarkan Wikipedia, suku Mante merupakan etnik terawal dalam pembentukan etnik-etnik Aceh seperti Lanun, Sakai, Jakun, Senoi dan Semang iaitu nenek moyang suku yang ada di Aceh sekarang.

Nama Mante pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Snouck Hurgronje dalam bukunya bertajuk De Atjehers, yang bermaksud tingkah laku ‘kebodoh-bodohan’ dan ‘keanak-anakan’, namun dia sendiri belum pernah menghadapi bertemu makhluk itu.

Walau bagaimanapun dalam kamus Gayo-Belanda karangan Profesor Ibrahim Alfian, nama Mante merupakan gelaran sekelompok masyarakat liar yang tinggal dalam hutan, manakala kamus Gayo-Indonesia tulisan ahli antropologi Nelalatua mendefinisikan Mante sebagai kelompok suku terasing.

Hurgronje dalam tulisannya turut menyebut bahawa Mante adalah orang Mantran yang tinggal di kawasan bukit-bukau pada abad ke-13.

Diceritakan bahawa pada abad tersebut, sepasang suku Mante telah ditangkap dan dibawa mengadap Sultan Aceh, namun mereka enggan berbicara, makan atau minum sehingga meninggal dunia.

Sehingga penemuan terbaharu makhluk yang dipercayai suku Mante itu baru-baru ini, masih tiada maklumat tentang kesahihan kisah suku yang terus menjadi misteri itu. – KOMPAS.COM

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain