Mail Online memetik Sabrina Gauer, 28, sebagai berkata, tindakannya menjalani rawatan terapi selama enam minggu itu bukan sahaja ‘membebaskan’ dirinya daripada ‘cengkaman’ kanser, malah membolehkannya meneruskan se­mula kerjaya sebagai penyanyi.

Walaupun rawatan itu mening­galkan parut di bahagian tekak dan lengannya, Gauer yang telah 20 bulan bebas daripada kanser tersebut percaya tahap kesihatannya kini semakin baik.

Terdahulu, seorang doktor pernah menasihatkan Gauer supaya menjalani rawatan terapi menggunakan radiasi bagi mengelakkan lidah wanita itu daripada dipotong akibat kanser berkenaan.

Gauer bagaimanapun mengabaikan nasihat tersebut dan memilih untuk menjalani rawatan terapi oksigen hiperbarik.

Langkah itu diambil selepas dia membuat penyelidikan sendiri berhubung kaedah penyembuhan secara semula jadi itu.

Menurut Gauer, rawatan terapi menggunakan radiasi sebenarnya lebih berbahaya ke­rana menggunakan sinar-X yang berkuasa tinggi untuk membunuh sel kanser yang mungkin tidak dapat disingkirkan ketika pembedahan.

Katanya, rawatan itu juga mungkin memberikan kesan sampingan kepadanya terma­suk kesukaran untuk makan dan minum, merosakkan tulang rahang, menyebabkan masalah gigi serta merosakkan peti suara.

Dalam pada itu, hasil beberapa kajian termasuk yang dijalankan di Rice University di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada 2015 mendapati, penggunaan terapi oksigen hiperbarik meningkatkan tahap kesihatan pesakit yang mengikuti rawatan berkenaan.