Tindakan itu dipercayai dilakukan oleh tentera Myanmar selepas pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) menyerang 30 buah pondok polis sehingga menyebabkan lebih 12 anggota keselamatan terbunuh.

Dakwaan yang menyalahkan ARSA sebagai dalang kepada perbuatan itu ternyata tidak berasas apabila para penduduk Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh mengakui perbuatan khianat itu sengaja dilakukan untuk memaksa mereka keluar dari negara berkenaan.

Menurut seorang penduduk, Jalal Ahmed, 60, yang tiba di Bangladesh semalam bersama kira-kira 3,000 yang lain selepas berjalan dari Kyikanpyin selama hampir seminggu berkata, tentera Myanmar menjadikan etnik Rohingya sebagai sasaran mereka.

“Tentera datang seramai 200 orang ke kampung dan mula membakar rumah-rumah. Semua rumah di kampung saya sudah musnah, jika kami kembali ke sana dan tentera melihat kami, mereka akan terus melepaskan tembakan,” katanya.

Rumah-rumah yang dibakar melibatkan kampung Kotankauk, Myinlut dan Kyikanpyin dan dua buah lagi di Maungtaw.

Pertubuhan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York berkata, berdasarkan imej satelit dan hasil temu bual dengan pelarian Rohingya di Bangladesh, kebakaran itu sengaja dilakukan oleh tentera kerajaan.

“Imej satelit baharu menunjukkan kemusnahan keseluruhan sebuah kampung etnik minoriti Islam Rohingya dan mencetus kebimbangan serius bahawa tahap kemusnahan di negeri Ra­khine mungkin jauh lebih buruk dari yang dijangkakan,” kata Pengarah HRW, Phil Robertson.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran terhadap bencana kemanusiaan yang semakin buruk di Myanmar dan mengesa supaya tentera kerajaan Myanmar menghentikan tindakan mereka.

“Guterres amat prihatin dengan laporan kekejaman yang dilakukan ketika operasi pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine,”kata seorang jurucakap PBB.

Portal berita Channel News Asia melaporkan, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam turut mengeluarkan amaran tegas mendakwa Myanmar telah melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap Rohingya dalam ucapannya di Istanbul sempena sambutan Aidiladha.

Erdogan berkata, beliau telah berbincang dengan Guterres dan pemimpin Islam lain untuk mengemukakan isu itu pada Perhimpunan Agung PBB yang akan diadakan di New York ­akhir bulan ini.–REUTERS