Menurut seorang pegawai tentera Syria kepada AFP, serangan itu disasarkan ke atas kem Al-Fawwar dekat Quneitra di barat daya negara ini namun masih belum dipastikan sama ada kemusnahan itu disebabkan serangan udara atau sebaliknya.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, serangan itu menyasarkan ‘gudang senjata’ dalam kem berkenaan.

Tentera Israel enggan memberi sebarang ulasan terhadap sera­ngan tersebut.

Pada Jumaat lalu, tentera Israel memberitahu, pihaknya me­nyasarkan kedudukan di Syria sebagai serang balas terhadap serangan mortar di utara bukit berkenaan.

Agensi berita rasmi Syria, SANA memaklumkan, serangan tentera Israel mengenai kedudukan tentera di wilayah Quneitra dan menyebabkan kerosakan.

Kerajaan Syria menyifatkan kumpulan penentang sebagai pengganas dan menuduh Israel menyokong kumpulan tersebut.

Israel merampas 1,200 kilometer persegi kawasan Bukit Golan dari Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudian bertindak memperluaskan pencerobohan dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Kira-kira 510 kilometer persegi kawasan berkenaan adalah di bawah kawalan Syria. – AFP