Agensi berita Ma’an melaporkan, Oshrat Kotler dari Channel 13 mengeluarkan komen itu di akhir laporan berita berhubung tentera Israel yang disyaki memukul dan menutup mata dua penduduk Palestin berikutan kematian anggota rejim Zionis dalam satu serangan baru-baru ini.

“Kita menghantar anak-anak kita ke dalam tentera, ke dalam wilayah yang diduduki dan mendapat semula ‘haiwan-haiwan’. Itulah hasil pencerobohan,” tegas Kotler.

Selepas dimaklumkan ko­mennya itu mencetuskan kontroversi, Kotler berkata, anak­nya dan rakan-rakan mereka adalah anggota tentera.

“Kritikan saya ditujukan kepada tentera yang mencederakan penduduk Palestin. Saya sebenarnya menyokong kelonggaran hukuman oleh tentera kerana kita yang menyebabkan mereka berdepan realiti yang mustahil,” katanya.

Susulan itu, ahli keluarga kepada keba­nyakan tentera Israel dalam satu kenyataan bersama menyelar kenyataan Kotler sebagai ‘menjijikkan’.

ROMPAKAN, PENCEROBOHAN 
EKONOMI

Dalam perkembangan berlainan, pegawai kanan Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) menyifatkan pelan kontroversi Israel yang membekukan pemindahan wang ke Palestin sebagai ‘rompakan dan pencerobohan ekonomi’.

Menurut anggota Suruhanjaya Eksekutif PLO, Hanan Ashrawi, tindakan tersebut disifatkan sebagai ‘mencuri pendapatan cukai Palestin’.

“Ini merupakan keputusan yang melanggar undang-undang dan membuktikan sekali lagi sikap Israel yang mencuri tanah, sumber dan dana Palestin.

“Dengan memberikan mereka lesen sendiri untuk merampas hasil pendapatan Palestin, Israel melakukan satu lagi tindakan tidak sah dan pelanggaran ekonomi. Palestin tidak menyerah terhadap pemerasan politik dan kewangan serta akan terus mencari jalan agar Israel bertanggungjawab ke atas jenayahnya,” tegas beliau.

Pada Julai tahun lalu, Parlimen Israel iaitu Knesset meluluskan undang-undang untuk menyekat wang berjumlah ratusan juta dolar dari Palestin berkaitan pembayaran kebaji­kan kepada tahanan Palestin dan keluarga mereka.

Palestin berkata, wang ber­kenaan adalah satu bentuk kebajikan kepada keluarga yang kehilangan sumber pendapatan namun Israel menyifatkan pembayaran tersebut sebagai ‘gaji pengganas’.

PAGAR AL-RAHMA 
DIKUNCI

Sementara itu, rejim Zionis menutup salah satu pagar Masjid al-Aqsa selepas sekumpulan penduduk Palestin memecahkan kunci dan membuka pagar berkenaan untuk mereka mengerjakan solat.

Terdahulu, rejim Zionis menutup pagar al-Rahma de­ngan kunci dan rantai besi bagi menghalang penduduk Islam memasuki masjid berkenaan.

Ma’an melaporkan, tindakan tersebut mencetuskan pertempuran antara golongan muda Palestin dan rejim Zionis sehingga menyebabkan lima penduduk Palestin ditahan terma­suk seorang wanita.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menutup pagar tersebut de­ngan kunci dan rantai besi.

Pejabat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan, rejim Zionis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketega­ngan yang berlaku sambil memberi amaran Palestin akan terus menentang polisi penindasan dan membuat keputusan sewenang-wenangnya sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Palestin.

Tambah kenyataan itu, Pejabat Presiden akan terus memantau tindakan semasa Israel dalam kawasan Masjid al-Aqsa dan sedang melakukan sesuatu untuk memberi desakan kepada rejim Zionis.