Ketua Tentera Wilayah Min­danao Barat, Leftenan Jeneral Carlito Galvez berkata, operasi ketenteraan di Marawi kini ber­ada pada fasa akhir dan pihak­nya menjangkakan pertempuran menjadi bertambah sengit.

“Kita mungkin berdepan de­ngan jumlah kematian yang lebih tinggi selepas ini kerana musuh (militan Maute) semakin terdesak (untuk mempertahankan kubu mereka),” katanya.

Lebih 800 orang terbunuh dalam pertempuran itu sejak 23 Mei lalu apabila Maute mula me­nguasai bandar terbabit.

Mengulas lanjut, Galvez memberitahu, ketika ini, jumlah anggota militan di Marawi semakin mengecil manakala golongan wanita dan kanak-kanak yang bersenjata pula dipercayai sebahagian daripada anggota keluarga mereka.

“Pasukan tentera yang berada di lokasi melihat sendiri kelibat beberapa wanita dan kanak-kanak cuba melepaskan tembakan ke arah mereka. Dalam hal ini, tidak hairanlah sekiranya mereka (militan Maute) tidak pernah kekura­ngan anggota (walaupun ramai yang terkorban),” jelasnya.

Dalam pada itu, ketegangan semakin dirasai di Marawi hari ini apabila bunyi tembakan berselang-seli dengan bunyi letupan termasuk daripada serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Filipina ke atas bandar itu.

Menurut Galvez, walaupun sumber risikan mendakwa komander kumpulan militan tersebut, Abdullah Maute mungkin telah terbunuh dalam sera­ngan udara bulan lepas, namun mereka masih meragui kesahihan berita tersebut.

“Tiada 100 peratus pengesahan mengenai berita ini hingga kami menjumpai mayatnya walaupun bukti yang ada sudah cukup untuk menganggap dia telah terbunuh,” katanya. – REUTERS