Lapor agensi berita al-Jazeera, Perdana Menteri Pakis­tan, Imran Khan mengumumkan perintah terbabit dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Ke­selamatan Nasional semalam.

Menurut kenyataan itu, Pakistan ‘tidak terlibat dalam apa cara, niat atau bentuk’ mengenai serangan pengeboman di wilayah Kashmir yang mengorbankan 42 tentera India pada minggu lalu.

Tambah kenyataan tersebut, Pakistan mengulangi tawarannya bagi membantu menyiasat insiden terbabit dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menggunakan ‘tanah Pakistan’ untuk menyerang India.

Pakistan juga menawarkan diri mengadakan dialog de­ngan India berkaitan semua isu, termasuk membabitkan aktiviti keganasan.

DUA BADAN KEBAJIKAN DISEKAT

Susulan insiden keganasan di Kashmir itu, Pakistan telah mengenakan semula sekatan terhadap dua badan kebajikan yang dikaitkan dengan pe­ngasas kumpulan Jaish-e-Mohammed (JeM).

Kumpulan JeM mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut.

Dua badan kebajikan ber­kenaan, Jamaat-ud-Dawa (JuD) dan Yayasan Falah-e-Insaniat (FIF) ditubuhkan oleh Hafiz Saeed, yang telah lama berada dalam senarai pengganas antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hafiz juga merupakan pe­ngasas sebuah lagi kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT).

Sekatan tersebut diputuskan selepas Pakistan berdepan tekanan antarabangsa untuk bertindak terhadap kumpulan militan.

INDIA DITUNTUT KEMUKA BUKTI

Terdahulu, Pakistan menuntut India agar mengemukakan bukti susulan tuduhan bahawa Pakistan menyokong kumpulan pemberontak Kashmir.

Dalam perkembangan berkaitan, India bertindak menghentikan aktiviti perdagangan dan perkhidmatan bas utama di bahagian dikuasai Pakistan di Kashmir.

Selain itu, India juga mendesak agar Pakistan diletakkan dalam senarai pemantauan pembiayaan pengganas.

Dua pegawai kerajaan India yang tidak didedahkan identitinya berkata, mereka telah mengemukakan maklumat baharu kepada Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) berkaitan Pakistan selepas insiden pengeboman kereta di daerah Pulwama, Kashmir minggu lalu.

Seorang lagi pegawai kerajaan India yang turut tidak mendedahkan identitinya berkata, butiran mengenai operasi JeM telah diserahkan kepada FATF.

SUNGAI INDUS TAMBAH KONFLIK?

Dalam perkembangan berlainan, India mengulangi rancangan untuk menyekat aliran air Sungai Indus ke Pakistan sebagai usaha untuk memberi tekanan kepada Pakistan susulan serangan di Kashmir.

“Kerajaan India telah memutuskan untuk menghentikan perkongsian air sungai kami ke Pakistan,” kata Menteri Pe­ngangkutan dan Sumber Air, Nitin Gadkari menerusi Twitter.

Tambah beliau, India akan mengalihkan aliran air dari bahagian timur sungai berkenaan dan membekalkannya kepada penduduk negeri Jammu, Kashmir dan Punjab.