Tuduhan itu dimuatkan dalam satu laporan berkaitan keganasan seksual semasa konflik oleh wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pramila Patten awal minggu ini.

Dalam laporannya, Patten dipetik sebagai berkata, keganasan seksual itu ‘telah diarah, dirancang dan dilaksanakan’ oleh anggota tentera Myanmar sendiri.

Isnin lalu, tentera Myanmar menerusi satu laporan menafikan segala tuduhan melibatkan jenayah rogol dan bunuh terhadap penduduk Rohingya oleh anggota keselamatan mereka.

Laporan penafian itu dibuat beberapa hari selepas mereka me­nukar pemimpin tentera yang bertanggungjawab terhadap operasi penghapusan etnik hingga mengakibatkan lebih 600,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Tindakan tersebut bagaimanapun menerima kecaman daripada PBB yang mendakwa, keganasan itu adalah sebahagian daripada contoh klasik bagaimana penghapusan etnik dilakukan walaupun dakwaan terbabit dibantah oleh Myanmar.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemerhati Hak Asasi Manusia men­dedahkan, 29 daripada 52 wanita dan remaja perempuan Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh telah dirogol dengan kebanyakan daripada mereka menjadi mang­sa oleh perogol berkumpulan.

“Perbuatan merogol telah men­jadi seperti satu tradisi yang terkenal kepada mereka dalam kempen untuk menghapuskan etnik Rohingya,” kata pengarang laporan tersebut yang juga penyelidik kecemasan bagi hak wanita, Skye Wheeler.

Sementara itu, syarikat mi­nyak gergasi Amerika Syarikat (AS), Chevron memberikan maklum balas terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap mereka ekoran kerjasama yang dijalinkan dengan kerajaan Myanmar ketika ini.

Portal BBC memetik kenya­taan syarikat tersebut sebagai berkata, Chevron kini hanya akan ‘bekerjasama dengan suasana perniagaan yang menghormati hak asasi manusia’ selepas beberapa tahun menerima tekanan daripada pelabur aktivis.

“Kami (Chevron) juga akan mengadakan dialog secara berte­rusan dengan pemegang saham berkaitan isu keganasan yang kritikal di Rakhine ketika ini,” kata mereka. – AGENSI