Kementerian Dalam Negeri Mesir berkata, kesemua suspek dipercayai sedang merancang satu lagi serangan terhadap kumpulan minoriti Kristian susulan dua serangan bunuh diri ke atas gereja Kristian Koptik yang membunuh sebanyak 44 orang.

Kata kenyataan itu, insiden berbalas tembak berlaku di bandar Assiut selepas suspek melepas tembakan ke arah pa­sukan keselamatan yang cuba menghampiri mereka.

“Peluru, senjata, sebuah motosikal dan buku serta risalah Daesh merupakan antara yang ditemukan di lokasi itu,” kata kenyataan tersebut.

Assiut merupakan sebuah bandar yang mempunyai bila­ngan penganut Kristian yang paling ramai di Mesir.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi melancarkan tindakan kekerasan ke atas kumpulan militan dalam sejarah moden Mesir selepas menggulingkan Presiden Mohamed Mursi pada tahun 2013.

Serangan bom kelmarin di Iskandariah dan Tanta menjadi satu daripada detik hitam buat puak minoriti Kristian Koptik Mesir, yang terbesar di Asia Barat.

Kemunculan Kristian Koptik di Mesir bermula sejak era Rom dan puak itu sering mengadu menjadi mangsa penindasan agama dan kerajaan tidak me­lakukan usaha mencukupi untuk melindungi mereka. – REUTERS