Menurut pegawai pertahanan India yang enggan dikenali, tentera China dikatakan membaling batu ke arah mereka berdekatan Tasik Pagong, yang merupakan kawasan tumpuan pelancong di wilayah pergunungan Ladakh.

Tambahnya, tentera China cuba memasuki sempadan India sebanyak dua kali tapi dihalang.

“Berlaku insiden kecil di sana. Pihak China membaling batu ke arah kami, tetapi situasi tersebut berjaya dikawal dengan segera,” kata pegawai terbabit kepada AFP.

Ujarnya lagi, perbalahan itu berjaya dikawal selepas kedua-dua pihak berundur ke kawasan masing-masing.

Sebelum ini, kedua-dua pihak turut berbalah di kawasan Doklam di timur Himalaya, sebahagian daripada sempadan pergunungan tidak ditandakan sepanjang 3,500 kilometer.

Sementara itu, sumber polis negeri Jammu dan Kashmir berkata, perbalahan seperti itu sering kali berlaku di sepanjang sempadan de facto dikenali sebagai Garisan Kawalan Sebenar (LAC).

“Kejadian seperti ini berlaku setiap musim panas tetapi insiden berlanjutan lebih lama dan serius tetapi tiada senjata digunakan,” kata sumber polis di Srinagar. – AFP