Presiden Presiden Rodrigo Du­terte berkata, beliau sanggup menunggu sehingga hujung tahun ini bagi memastikan pertempuran tentera dengan kumpulan militan berkenaan di Marawi ber­akhir.

Sabtu lalu, Parlimen Filipina meluluskan permintaan Duterte untuk melanjutkan tempoh pe­laksanaan undang-undang tentera di selatan negara ini.

Sementara itu, beribu-ribu pe­nunjuk perasaan membanjiri jalan raya di bandar ini menje­lang pembentangan dasar utama negara oleh Presiden Rodrigo Duterte kepada Kongres hari ini sebagai menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Duterte.

Para penunjuk perasaan membawa sepanduk yang ditulis ‘Hentikan Pembunuhan!’ dan ‘Katakan Tidak kepada Undang-undang Ten­tera’ bagi membantah kempen agresif Duterte terhadap pengedaran dadah dan undang-undang tentera di selatan Mindanao.

Renato Reyes yang merupakan Setiausaha Agung kumpulan berhaluan kiri yang menyertai bantahan itu berkata, tunjuk perasaan besar-besaran diadakan bagi me­nunjukkan tentangan mereka kepada Duterte.

“Suasana hari ini berbeza berbanding tahun lalu yang diadakan bagi membawa harapan, kali ini kita telah menyaksikan bagaimana rejim Duterte mentadbir,’’ katanya.

Pada tahun lalu, kumpulan aktivis berhaluan kiri turut meng­adakan perarakan sebelum Presiden itu berucap di hadapan Kongres tetapi tunjuk perasaan tersebut bertujuan memberi so­kongan terhadap Duterte.

“Setahun telah berlalu tetapi banyak janji yang gagal ditunaikan dan keadaan semakin teruk ekoran tindakan melanjutkan tempoh pelaksanaan undang-undang tentera selama lima bulan di Mindanao,’’ kata Reyes. – DPA/ Reuters