Sebanyak 10,000 anggota pa­su­kan penyelamat bertungkus lu­mus pada hari terakhir bagi mencari ahli keluarga yang hilang dengan harapan dapat melihat wajah mangsa buat kali terakhir dan diberikan pengebumian sempurna.

Bagaimanapun seorang agen­si bencana Indonesia memak­lum­kan, pencarian itu akan di­teruskan sehingga petang Jumaat.

Menurut agensi itu, angka kematian penduduk meningkat kepada 2,073 orang namun tidak ada seorang tahu berapa banyak lagi mangsa yang masih hilang di tiga kawasan perumahan yang ranap iaitu Balaroa, Petobo dan Jono Oge.

Menurut agensi pengurusan bencana Indonesia, jumlah penduduk yang hilang dipercayai mencecah 5,000 orang.

Pasukan penyelamat bersama penduduk bekerjasama cuba mengenal pasti kedudukan mangsa namun sejauh mana pergerakan tanah semasa tanah jerlus itu berlaku menyukarkan usaha pencarian.

“Kami harap ahli keluarga faham bahawa harapan terlalu tipis ketika ini,” kata sukarelawan, Hadrianos Poliamar.

Sementara itu, mengulas ke­putusan kerajaan menghentikan operasi mencari mangsa, sejumlah keluarga mengaku ikhlas dengan pemergian ahli keluarga mereka.

Walaupun tidak mengetahui nasib mereka yang hilang, masih ada penduduk yang meminta pencarian itu diteruskan.

“Menurut saya lebih baik dilanjutkan kerana dalam rumah saya terdapat 18 orang jenazah lagi,” katanya yang dipetik Liputan6.com. – REUTERS/AGENSI