Gabenor wilayah itu, Longki Djanggola berkata, perintah da­rurat sepatutnya berakhir esok tetapi ia kini dilanjutkan sehingga 26 Oktober.

Keputusan itu dibuat setelah pihak berkuasa berdepan banyak masalah untuk menyediakan keperluan asas kepada penduduk di pusat penempatan, memperbaiki kerosakan infrastruktur dan membina rumah sementara.

Kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan tempoh selama sehari yang sepatutnya berakhir semalam bagi pertubuhan-pertubuhan pemindahan me­neruskan tugas ekoran wujudnya masalah kesihatan.

“Pada mesyuarat 8 Oktober lalu telah dipersetujui proses pemindahan sepatutnya ber­akhir 11 Oktober namun ekoran masalah perubatan, psikologi, sosial dan agama tempoh itu dilanjutkan atas permintaan pertubuhan itu,” kata jurucakap Agensi Mitigation Bencana Negara (BNPB), Sutopo Nugroho.

Menurutnya, kawasan tragedi yang mayat mangsa ditemukan akan dijadikan taman peringatan, lapor portal Jakarta Globe.

Jumlah mangsa yang terkorban setakat petang semalam ialah 2,071 orang dengan pe­nemuan enam mayat lagi ma­na­kala seramai 650 mangsa masih hilang dan sekurang-kurang­nya 150 orang dipercayai tertimbus dalam lumpur tebal.

Kerajaan merancang menyi­apkan rumah sementara untuk mangsa dalam tempoh dua bulan.

Penduduk di perkampung­an Ba­laroa akan ditempatkan semu­la ke kawasan Dayu ma­nakala mereka dari Petobo di­pin­dahkan ke Ngata Baru.

Sementara itu, pihak berkuasa Papua menghantar satu pasukan perubatan ke Palu yang dianggotai 10 petugas perubatan, dua pegawai agensi sosial dan dua pegawai Agensi Mitigasi Bencana Papua (BPBD).