Langkah itu dibuat selepas penduduk di bandar sempadan dekat Pacaraima bertempur dengan pendatang Venezuela dengan mengusir mereka daripada khemah sementara yang dibina pelarian.

Temer mengadakan mesyuarat itu di istana presiden termasuk menteri pertahanan, menteri keselamatan dalam negeri, menteri hal ehwal luar bagi membincangkan langkah Brazil terhadap krisis berkenaan.

Situasi di Pacaraima dan di bandar berhampiran daerah itu di Venezuela, Santa Elena de Uairen kembali tenang susulan keganasan kelmarin selepas hampir kesemua rakyat Venezuela diusir.

“Lebih 1,200 pendatang kembali ke Venezuela,” kata jurucakap bagi pasukan petugas pendatang Brazil.

Jurucakap itu berkata, secara purata, kira-kira 500 pendatang Venezuela memasuki Brazil setiap hari namun semalam, jumlah mereka yang datang jauh lebih rendah berbanding hari-hari sebelumnya.

“Bandar itu kelihatan sepi hari ini, ia sangat tenang kerana bantuan polis telah tiba dan pasar mula dibuka semula,” kata seorang penduduk tempatan di bandar yang dihuni kira-kira 12,000 orang yang tidak mahu dikenali.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dalam pada itu mengumumkan, pihaknya menghantar 120 askar serta pasukan kesihatan untuk menyertai agensi kerajaan lain di kawasan tersebut, hari ini.

Puluhan ribu penduduk Venezuela telah menyeberangi sempadan Brazil sejak tiga tahun lalu dalam usaha mereka melarikan diri daripada masalah ekonomi, politik dan krisis sosial yang membelenggu negara terbabit.

Brazil menjadi pilihan pendatang Venezuela kerana ia merupakan satu daripada negara yang tidak memerlukan mereka membawa pasport. - AFP