Sebanyak 12 orang awam terpilih untuk menaiki teksi itu secara percuma semasa tempoh pelancaran yang dipandu menggunakan telefon pintar bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh nuTonomy, yang digerakkan oleh perisian kenderaan autonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif nuTo­nomy, Karl Iagnemma berkata, tempoh ujian itu tidak ditetapkan, namun akhirnya penumpang perlu membayar perkhidmatan berkenaan selain memperkenalkan pungutan mata berdasarkan penggunaan.

Katanya, syarikat itu juga me­rancang memperkenalkan perkhidmatan tersebut di beberapa bandar Asia lain dan juga di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kemudian.

Beberapa buah syarikat seperti Google dan Volvo telah menguji kereta pandu sendiri itu di jalan raya sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun menurut nuTonomy, syarikat itu merupakan yang pertama menawarkan perkhidmatan teksi itu kepada orang awam.

Teksi pandu sendiri itu di­jangka mendapat saingan daripada perkhidmatan Uber yang merancang untuk menawarkan pakej serupa di Pittsburgh, AS dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Buat permulaan, sebanyak enam teksi akan digunakan, sebelum jumlah kenderaan itu ditambah kepada 12 buah pada hujung tahun ini.

Menurut jurucakap nuTo­nomy, matlamat teksi itu adalah bagi mewujudkan satu kumpulan teksi pandu sendiri di Singapura menjelang 2018, sekali gus me­ngurangkan jumlah ken­deraan di jalan raya yang semakin sesak di negara ini.

Teksi yang menggunakan kereta jenis Renault Zoe yang diubahsuai dan Mitsubishi i-MiEV itu, mempunyai seorang pemandu yang bersedia mengundurkan kenderaan itu serta seorang penyelidik di belakangnya yang memantau komputer kereta ber­kenaan.

Setiap kereta itu dilengkapi dengan enam set Lidar, sistem pengesan laser yang berfungsi seperti radar termasuk dua kamera pada papan pemuka yang mengimbas halangan dan mengesan perubahan pada lampu isyarat. – AGENSI