Perkara itu didedahkan oleh portal berita BBC yang membuat laporan khas mengenai isu tersebut baru-baru ini.

Menurut seorang graduan bidang sejarah dari Cardiff University, Peter Lane, dia telah memohon 55 pekerjaan dan menjalani 15 temu duga tetapi percaya teknologi menyukarkan lagi usahanya.

“Proses temu duga tidak se­perti yang diharapkan, semua sesi berkenaan berasaskan sidang video dan saya tidak berpeluang bertemu sendiri dengan bakal majikan. Tiada cara untuk mengetahui sama ada mereka berpuas hati dengan jawapan atau pengalaman saya kerana tiada interaksi manusia yang berlaku,” katanya.

Surat penolakan automatik adalah satu lagi masalah bagi graduan berusia 21 tahun itu yang kini melakukan latihan tidak berbayar di NHS Trust di Solent.

“Hanya 10 peratus daripada majikan telah memberi saya maklum balas terperinci. Sebagai pencari kerja, kita perlu mengetahui di mana dan bagaimana kita dapat memperbaiki sama ada melalui resume, pengalaman kerja atau perso­naliti kita,” jelasnya.

Namun, pegawai syarikat perunding pengurusan perniagaan Kiddy & Partners, Elle Robinson berpendapat, AI dapat membantu menghapuskan bias atau berat sebelah dalam proses pemilihan.

“AI membantu mengurangkan sikap tidak sedar dan sedar dalam amalan pengambilan dengan membuang kecenderu­ngan umum, seperti mengupah orang yang serupa dengan anda atau tanggapan pertama.

“Dengan mengamati ucapan, nada dan pergerakan wajah dalam temu bual yang direkodkan selain algoritma yang diprogramkan dengan baik dapat mempercepatkan proses pengambilan dan secara objektif menentukan calon sesuai berdasarkan kriteria teras untuk kerja yang ditawarkan,” katanya.