Majalah Forbes memaklumkan, pendapatan Swift, 26, iaitu sebanyak AS$170 juta (RM758 juta) diperoleh melalui siri jelajah konsert, rakaman album, tajaan serta pendapatan-pendapatan lain.

Swift juga mengumpul pendapatan kasar lebih AS$200 juta (RM892 juta) yang disumbang menerusi sebahagian daripada siri jelajah konsert 1989 di Amerika Utara.

Pendapatan lumayan penyanyi lagu Bad Blood itu diekori kumpulan One Direction dengan memperoleh sebanyak AS$110 juta (RM490 juta).

Adele pula berada di kedudukan ketiga dengan pendapatan sebanyak AS$80.5 juta (RM359 juta) yang keba­nyakannya disumbang oleh jualan album 25 yang merupakan album terlaris tahun lalu.

Penyanyi Madonna di tangga keempat dengan pendapatan sebanyak AS$76.5 juta (RM341 juta) yang meletakkan jumlah keseluruhan perolehan sepanjang kariernya berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.2 bilion).

Turut tersenarai dalam kedudukan 10 teratas adalah penyanyi kelahiran Barbados, Rihanna dengan pendapatan AS$75 juta (RM334 juta); bintang country, Garth Brooks, AS$70 juta (RM312 juta); kumpulan rock veteran, AC/DC, AS$67.5 juta (RM301 juta) dan Rolling Stones, AS$66.5 (RM296 juta).

Artis lain adalah Calvin Harris yang memperoleh pendapatan sebanyak AS$63 juta (RM281 juta) dan Diddy, AS$62 juta (RM276 juta).

Secara keseluruhannya, sebanyak 30 artis tersenarai mengumpul pendapatan lebih AS$1.8 bilion (RM8 bilion) tahun ini. – REUTERS