Menurut Mail Online, tayar unik keluaran syarikat Bridgestone itu berbeza dengan tayar konvensional kerana ro­danya mempunyai je­jari plastik yang keras digunakan untuk menampung berat kenderaan dan penunggangnya.

Tayar futuristik itu mempunyai jejari resin termo plastik, sejenis bahan tiruan yang fleksibel semasa panas dan mengeras semasa sejuk bermakna ia dapat direka kepada pelbagai bentuk.

Jejari plastik itu akan diregangkan di antara hab dalaman tayar getah dan tayar getah yang berada di luar rim dan direka bentuk supaya dapat menyerap hentakan bagi memberikan perjalanan lancar.

Oleh kerana tayar itu tidak mengandungi udara, serpihan kaca, besi tajam dan pelbagai serpihan jalan kini tidak lagi menjadi ancaman kepada tayar.

Bridgestone berkata, roda itu dicipta menggunakan seratus pe­ratus bahan kitar semula.

Malah menurut syarikat itu, pihaknya sedang berusaha menjadikan roda itu boleh dikitar semula sekali gus menghasilkan pengeluarannya yang mesra alam dan mapan.

Roda itu jelas Bridgestone ma­sih pada pe­ringkat rekaan kon­sep dan me­reka berharap da­pat memasarkan tayar itu dalam tem­poh dua tahun lagi.

Roda yang dibangunkan sejak tahun 2011 dengan menyaksikan produk generasi keduanya dimaju pada tahun 2013, dijangka dapat memberikan kelajuan 60 kilometer sejam kepada kendera­an ringan.

Reka bentuk roda itu adalah berdasarkan kerja-kerja yang dilakukan syarikat sebelumnya untuk memperkenalkan tayar tanpa udara untuk kereta dan juga kende­raan lain.