“Siri terbaharu Marvel itu ber­­jaya mengutip AS$630 juta (RM2.4 bilion) di seluruh dunia, menjadikannya jumlah kutipan terbesar dalam sejarah perfileman dan ini berjaya dilakukan tanpa China,” kata pengulas industri, Exhibitor Relations.

Catatan berkenaan menewaskan filem The Fate of the Furious siri kelapan filem aksi yang dibintangi Vin Diesel, Dwayne Johnson dan Michelle Rodrigues yang mengutip lebih AS$530 juta (RM2.1 bilion) pada 2017.

Filem Infinity War yang dibintangi lebih 24 adiwira berjuang untuk menyelamatkan dunia turut berjaya memecah rekod ter­tinggi Amerika Utara untuk ta­yangan pem­bukaan hujung ming­gu de­ngan mengutip AS$250 juta (RM980 juta), sekali gus merupa­kan rekod pecah panggung di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Kutipan tersebut berjaya me­ngatasi filem The Force Awaken, filem ketujuh dalam siri pengembaraan angkasa Star Wars yang mengutip AS$248 (RM972 juta) bagi tayangan pembukaan hujung minggu pada 2015.

Filem Infinity War adalah filem ke-19 dalam siri Marvel Cinematic Universe (MCU) yang menggabungkan sembilan francais terbesar dan barisan artis ternama Hollywood.

Pelakon Robert Downey Jr. yang memakai sut logam berwar­na merah dan emas sekali lagi me­megang watak Iron Man, Be­nedict Cumberbatch sebagai Doctor Strange, Scarlet Johansson kem­bali menjayakan watak Black Widow dan pelakon Australia Chris Hemsworth sebagai Thor selain watak Black Panther yang mencetuskan fenomena selepas tayangannya pada Februari lalu.

Filem yang menelan belanja AS$300 juta (RM1.2 bilion) itu turut dibintangi Captain America, the Hulk, Spider-Man, Hawkeye, the Guardians of the Galaxy dan ramai lagi.

Misi mereka adalah untuk me­ng­halang mahkluk asing yang sa­ngat berkuasa daripada menghancurkan dunia. – AFP