Taufan Noul yang diletak pada kategori empat dengan membawa angin pada kelajuan 160 kilometer sejam kini berada kira-kira 210 kilometer dari timur timur laut Pulau Catanduanes di tengah Filipina.

Pegawai bencana di wilayah Sorsogon, Raben Dimaano berkata, kesemua penduduk terbabit dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di dua buah bandar berhampiran.

Fenomena itu turut mengakibatkan perkhidmatan feri terpaksa ditutup dan penduduk yang tinggal di tepi pantai berdepan ancaman ombak besar setinggi 2.5 meter akibat taufan itu.

Taufan itu dijangka membadai wilayah pengeluar padi di Cagayan dan Isabela pada kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan esok dan bertukar lemah selepas merentas pergunungan Sierra Madre di timur laut Luzon.

"Nasihat kami kepada penduduk terlibat supaya mengelakkan sebarang aktiviti luar,’’ kata jurucakap kaji cuaca tempatan, Fernando Cada.

Pasukan pengawal pantai berkata, mereka telah menutup perkhid­matan feri ke kawasan terjejas mengakibatkan 6,000 pengguna terkandas di pelabuhan-pelabuhan di pulau itu.

Ratusan penduduk di kepulauan sama turut dipindahkan, semalam ekoran ancaman Gunung Berapi Bulusan yang memberi ancaman aliran lahar dari gunung itu. – REUTERS/AFP