Taufan Nesat yang melanda wilayah timur Yilan mencetus ombak besar setinggi kira-kira 15 meter dan hujan lebat di wilayah selatan Pingtung.

“Ini adalah kali pertama dalam 50 tahun Taiwan mengeluarkan amaran dua taufan selepas ribut tropika Haitang membadai selatan pulau ini.

“Haitang semakin kuat dan dijangka membawa hujan lebat ke tengah dan selatan Taiwan dari malam ini hingga esok,” kata kakitangan Biro Kaji Cuaca, Lin Ting-i.

Lebih 10,000 orang terpaksa dipindahkan semalam dengan 5,338 tentera ditempatkan untuk bantuan bencana.

Kebanyakan perkhidmatan kereta api turut tergendala dan lebih daripada 300 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan atau ditangguhkan akibat angin kuat mencecah 170 kilometer sejam.

Menurut pusat operasi kecemasan, ramai yang tercedera kebanyakannya akibat terkena objek yang jatuh atau terlibat dalam kemalangan termasuk tergelincir akibat cuaca buruk.

Hampir setengah juta rumah terpaksa bergelap dan sumber kerajaan mengesahkan lebih 200 penduduk di bahagian selatan pulau itu terkandas akibat banjir sejak semalam namun berjaya diselamatkan.

Taufan Nesat turut membadai bandar Fuqing, wilayah tenggara Fujian di China, kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan amaran taufan merah yang paling tinggi dalam sistem amaran berkod di China.

Usaha tindak balas kecemasan telah bermula di wilayah jiran Zhejiang, di mana lebih 3,000 orang telah dipindahkan selepas Taufan Begonia dijangka melanda Fujian esok. – AFP