Taufan yang melanda Pulau Saint Martin dan Teknaf di da­erah pesisir pantai Bangladesh dekat Cox’s Bazar, menyaksikan 200,000 orang penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindu­ngan sementara, kata jurucakap kerajaan.

Di daerah Chittagong sendiri, sebanyak 150,000 penduduk dipindahkan.

Pulau Saint Martin terletak beberapa kilometer daripada sempadan Myanmar yang menjadi tempat perlindungan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman tentera kerajaan terbabit, tahun lalu.

Seorang pemimpin masyarakat Rohingya, Shamsul Alam berkata, kemusnahan di kebanyakan kem amat dahsyat dengan hampir ke­semua 10,000 pondok jerami di kem pelarian Balukhali dan Kutupalong musnah.

“Kebanyakan rumah sementara di kem pelarian itu ranap sama sekali,” kata Alam.

Sementara itu, seorang pe­mimpin di kem pelarian Kutupalong, Omar Farukh menegaskan, kemusnahan yang teruk berlaku menyebabkan pelarian tidak lagi mempunyai tempat untuk berlindung.

Jurucakap kerajaan di Chittagong melaporkan, angin kencang mencapai kelajuan sehingga 135 kilometer sejam dengan kawasan rendah di pesisir pantai ditenggelami air sedalam dua meter.

Sekurang-kurangnya 74,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh ekoran keganasan tentera Myanmar sejak bulan Oktober lalu dengan kerajaan Bangladesh menganggarkan sebanyak 350,000 penduduk Rohingya kini berada di negara itu ketika ini.

Sementara itu, seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bekerja di kem pelarian Rohingya di Bangladesh berkata, kemusnahan di kem-kem pelarian itu sukar dianggarkan ketika angin kencang masih lagi berlaku.

“Wanita yang sarat hamil te­lahpun dipindahkan tetapi kebanyakan penduduk di kem pelarian Balukhali dan Kutupalong tidak berpindah”, kata pengawai yang bimbang dengan penempatan yang tidak mempunyai struktur kuat untuk bertahan dengan angin­ yang kuat.

Di Myanmar, kira-kira 300 buah rumah musnah di negeri Rakhine akibat Taufan Mora dan kesan kemusnahan masih tidak jelas. – REUTERS