Taufan terburuk tahun ini menyebabkan seluruh kawasan pertanian di Pulau Luzon ditenggelami air dan angin kencang telah menyebabkan pokok tercabut, manakala hujan lebat mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Komunikasi dan bekalan elektrik terputus sama sekali di pulau yang dihuni lima juta penduduk itu, kata pihak pemerintah yang masih menilai kesan bencana.

Di utara bandar Baggao, taufan merobohkan rumah dan turut menyebabkan bumbung berterbangan serta bekalan elektrik terputus dan sesetengah jalan terputus akibat tanah runtuh serta banjir.

Kawasan pertanian Luzon merupakan pengeluar terbesar padi dan jagung bagi Filipina.

"Sudahlah kami miskin, kini dilanda bencana pula. Kami sudah hilang harapan,” kata Mary Anne Baril, 40, yang menanam padi sebagai pendapatan.

"Kami tidak mempunyai semangat untuk hidup,” katanya dengan linangan air mata.

Lebih 105,000 orang meninggalkan kediaman masing-masing yang terletak di kawasan pedalaman ekoran bencana alam itu.

Purata sebanyak 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun, mengorbankan ratusan mangsa dan menyebabkan jutaan penduduk hidup di bawah paras kemiskinan. - AFP