Perdana Menteri Barbuda, Gaston Browne berkata, taufan itu meragut nyawa seorang kanak-kanak dan menyebabkan seluruh pulau itu ditenggelami air.

“Kemusnahan yang berlaku sangat teruk. Seluruh pulau ini ditenggelami air dan seolah-olah tidak boleh dihuni lagi,” katanya kepada BBC.

Bagaimanapun, Antigua yang mempunyai penduduk kira-kira 80,000 orang dilaporkan tidak mengalami kemusnahan teruk, selain tiada nyawa terkoban.

Irma yang membawa angin kencang serta hujan lebat itu juga menyebabkan lebih separuh daripada tiga juta penghuni di seluruh Caribbean terputus bekalan elektrik dan keadaan itu dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) me­laporkan, Taufan Irma yang membawa angin kencang ber­ke­lajuan 295 kilometer sejam diramal melalui utara pantai Republik Dominic dan melalui Haiti hari ini.

Dalam pada itu, pihak berkuasa negara juga menyatakan sebanyak enam kematian dilaporkan di wilayah Perancis iaitu Pulau St. Martin dan Pulau Saint Barthelemy atau lebih dikenali sebagai Pulau St. Barts.

Lapangan Terbang Pulau St. Martin yang merupakan ketiga terbesar di Caribbean juga dilaporkan mengalami kemusnahan dengan beberapa bangunannya runtuh.

Penduduk di pulau itu juga terputus bekalan elektrik serta air dan pasukan penyelamat berusaha untuk menyalurkan bantuan ke pulau berkenaan.

Menurut ramalan terbaharu NHC, Irma diramal berada berhampiran Florida pada pagi Ahad ini namun bahagian barat daya Florida dijangka menerima kesan teruk.