Irma yang membawa angin pada kelajuan 290 kilometer sejam itu membadai Caribbean dan memusnahkan beberapa pulau utama termasuk Barbuda, Saint Martin dan Pulau Virgin, me­nyak­sikan banyak pokok tumbang me­nim­pa rumah dan hospital.

Menurut Pusat Taufan Kebang­saan (NHC) Amerika Syarikat (AS), Irma berada 65 kilometer ke selatan Turk dan Caicos dan dijang­ka mencetuskan ombak setinggi enam meter ke perairan Bahamas sebelum menuju ke Cuba dan seterusnya ke Florida menjelang hujung minggu ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turks dan Caicos, Virginia Clerveaux berkata, ini merupakan kali pertama pulau ini dilanda taufan yang kekuatannya diletakkan pada kategori lima.

Di Miami, Amerika Syarikat (AS), beratus-ratus penduduk ber­atur untuk membeli air botol, selain kenderaan berpusu-pusu mengisi petrol sebagai persedia­an menghadapi Irma.

Beberapa syarikat penerbangan di negeri itu turut menawarkan lebih banyak operasi penerba­ngan ke luar Florida biarpun tawarannya adalah terhad.

Di Lapangan Terbang Antara­bangsa Miami, banyak penerba­ngan keluar dibatalkan dan menyebabkan ramai penumpang ter­kandas.

Sementara itu, NHC dalam laporan terbaharunya menyatakan Tau­fan Jose diramal berada berhampiran bahagian utara Kepulauan Leeward pada Sabtu ini.

Taufan kategori tiga itu dijangka membawa angin berkelajuan 195 kilometer sejam. – REUTERS