Ribut berkenaan yang kini berge­rak pada kelajuan 130 kilometer sejam dijangka menjadi lebih kuat dalam tempoh 48 jam akan datang.

Amaran taufan turut dikeluarkan di beberapa bahagian lain se­perti Kepulauan Leeward, Kepulauan Virgin AS dan Puerto Rico berikutan ramalan angin kencang dengan kelajuan 220 kilometer sejam bakal berlaku tidak lama lagi, lapor NHC.

Dalam pada itu, Jabatan Cuaca Kebangsaan berkata, persediaan perlu dilakukan dengan segera bagi menghadapi bencana di beberapa buah kawasan yang berkemungkinan terjejas.

Ribut kategori empat mengikut skala Saffir Simpson, mampu menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan infrastruktur, termasuk menerbangkan atap, memecahkan tingkap dan membunuh manusia.

Kekuatan pada kategori empat merupakan tahap maksimum yang dimiliki oleh Taufan Harvey yang menyebabkan kemusnahan yang dahsyat kepada sebahagian Texas dan Louisiana.

Dalam per­kembang­an yang sama, Puerto Rico telah mengeluarkan pe­rintah darurat dan me­ngerahkan Pe­nga­wal Kebangsaan se­malam.

Malahan, mereka juga mengaktifkan pembekuan harga ter­hadap barangan keperluan seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, penjana kuasa serta bateri bagi membantu persediaan penduduk tempatan.

Sementara itu, Gabenor Florida, Rick Scott di laman Twitter memberitahu, beliau telah berbincang dengan Presiden Donald Trump dan kerajaan AS bersedia me­nyalurkan bantuan kepada rakyat negeri itu dalam menghadapi taufan Irma.

NHC memberi amaran bahawa adalah terlalu awal untuk meramalkan laluan sebenar taufan tersebut dan apa kesannya terhadap AS, tetapi menegaskan beberapa kawasan bakal terjejas menje­lang akhir minggu ini.

Dalam perkembangan ber­­ka­it­­an, keadaan di Texas kini sema­kin pulih selepas ramai penduduk tempatan mula keluar bekerja buat kali pertama sejak bencana taufan Harvey melanda kawasan itu pada bulan lalu.

Banyak syarikat besar, universiti dan pengangkutan awam berope­rasi sepenuhnya hari ini. – REUTERS