Harvey yang membadai pada lewat Jumaat lalu adalah taufan terkuat melanda Texas dalam tempoh 50 tahun dan meragut sekurang-kurangnya dua korban, setakat ini.

Houston, bandar keempat yang mempunyai penduduk paling padat di Amerika Syarikat terpaksa menutup sekolah, lapangan terbang dan bangunan pejabat ke­rana kebanyakan kawasan sudah dinaiki air sehingga ke paras dada.

Jumlah kematian itu dijangka meningkat, ketika ribut menyebabkan lagi peningkatan air pasang dan puting beliung de­ngan beberapa bahagian di rantau ini membawa hujan lebat dengan taburan yang tinggi untuk tempoh setahun dalam masa seminggu selain air sungai dan terusan telah melimpahi tebing.

Pihak berkuasa mengarahkan lebih daripada 50,000 orang me­ninggalkan Fort Bend County, kira-kira 55 kilometer barat daya Houston selepas Sungai Brazos hampir banjir dan melimpah keluar.

Presiden AS, Donald Trump dijangka meninjau keadaan bencana di Houston esok.

Di Washington, jurucakap Institut Makmal Insurans, Loretta Worters menjangkakan kemusnahan yang disebabkan oleh taufan Harvey di Texas mungkin menyamai kerugian yang dialami akibat taufan Katrina pada tahun 2005 iaitu bencana alam paling mahal dalam sejarah AS.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan secara tepat kerosakan rumah kediaman dan perniagaan.

“Ia mungkin menjadi kerugian seperti banjir disebabkan taufan Katrina dengan mengambil kira jumlah taburan hujan. Kelajuan angin tidak begitu teruk tetapi jumlah hujan yang tinggi menjadi kebimbangan,” katanya.

Taufan Katrina menyebabkan lebih AS$15 bilion (RM63.98 bi­lion) pampasan dibayar di Louisiana dan Mississippi, di bawah Program Insurans Banjir Kebangsaan (NFIP), sebuah program persekutuan yang menjadi satu-satunya perkhidmatan insurans banjir kepada rakyat negara itu.

Pakar meteorologi firma insu­ rans BMS Group, Andrew Siffert, berkata Harvey mungkin menyebabkan kerugian ekonomi lebih AS$10 bilion (RM42.65 bilion) dan jangkaan kerugian insurans lebih AS$5 bi­lion (RM21.33 bilion)

NFIP kini terbeban dengan hutang akibat taufan Katrina dan para pembayar cukai negara ini mungkin per­­lu membantu bagi menampung tuntutan kerugian aki­bat taufan Harvey. – REUTERS