Dua tinjauan pendapat umum yang disiarkan hari ini menunjukkan sokongan terhadap Aso terus merosot, sekali gus menambahkan kesangsian mengenai kebolehan beliau untuk memimpin atau mengekalkan jawatan menjelang lawatannya ke Washington bagi menemui Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Tinjauan akhbar oleh Mainichi mendapati sokongan pengundi terhadap Aso telah merosot kepada 11 peratus, manakala akhbar perniagaan Nikkei melaporkan beliau hanya mendapat sokongan 15 peratus pengundi.

Kedua-dua tinjauan dijalankan pada hujung minggu lalu dan paras sokongan sedemikian dilaporkan hampir mencecah paras terendah yang pernah dicatatkan bagi seorang Perdana Menteri Jepun.

Tinjauan Mainichi juga mendapati 39 peratus pengundi mahu Aso meletakkan jawatan serta-merta, manakala tinjauan Nikkei menunjukkan 70 peratus pengundi menyokong pilihan raya umum diadakan segera.

Penganalisis berpendapat lawatan Aso ke AS sebahagiannya bertujuan untuk memulihkan populariti beliau di kalangan pengundi Jepun. - AP