Kontroversi itu tercetus ekoran penyebaran video yang merakamkan dua wanita berpakaian baju merah dan berkasut tumit tinggi menari dengan aksi yang mengghairahkan di hadapan Kuil Wat Chaiwatthanaram yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Video selama lima minit tersebut yang dimuat naik oleh pengguna bernama VKIZZ pada 5 Ogos lalu, turut mendapat kritikan ramai orang dan laman perkongsian vi­deo, YouTube telah memadamkannya ekoran menerima banyak aduan.

Susulan insiden itu, Pengarah Pejabat Seni Halus Wilayah 3 di Ayutthaya, Pratheep Phengtako berkata, satu aduan akan dibuat kepada pihak polis bagi mengheret dua wanita yang tidak dikenali itu dan individu yang merakamkan video tersebut ke muka pengadilan.

Jelas beliau, cara pemakaian yang tidak sopan dan tarian seksi wanita berkenaan melanggar peraturan yang termaktub dalam Akta Monumen Bersejarah, Antik dan Muzium Negara.

“Kami akan meminta polis mendakwa mereka kerana menyebarkan video itu di Internet, tindakan yang memalukan imej negara dan tapak warisan,” kata beliau seperti dilaporkan portal Mail Online.

Penolong Gabenor Ayutthaya, Rawat Prasong pula berkata, tindakan memalukan dua wanita terlibat menjatuhkan martabat Kuil Chaiwatthanaram yang merupakan lokasi tarikan pelancong bertaraf dunia.

Prasong turut menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu menangkap suspek dan dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, seorang peniaga cenderahati di kuil berkenaan, Pranee Thareejian, 61, berkata, dia ternampak dua wanita dan seorang lelaki yang membawa kamera memasuki kuil tersebut pada Jun lalu.

“Lelaki berkenaan mengambil gambar dua wanita terbabit dengan aksi seksi sebelum mereka bergerak ke kawasan berdekatan dinding kuil untuk merakamkan aksi tarian yang mengghairahkan,” katanya pada Jumaat lalu.