Ketua Sektor Antikuiti Antik Mesir, Mahmoud Afifi dalam satu kenyataan berkata, piramid dari dinasti firaun ke-13 itu ditemui di perkuburan diraja Dahshur, 30 kilometer dari selatan Kaherah.

Berdasarkan lengkungan yang terdapat pada bahagian sisi piramid tersebut, pasukan penyelidik percaya itu merupakan cubaan pertama rakyat Mesir untuk membina piramid dengan bahagian sisi pula dilihat lebih halus dan licin.

Difahamkan, kawasan pene­muan itu yang juga makam diraja Dashnur merupakan tempat pengebumian bagi kerabat diraja serta pegawai atasan negara ter­se­but suatu ketika dahulu.

Ketua makam diraja Dashnur, Adel Okasha berkata, tapak piramid itu berasal dari struktur di bahagian dalam, termasuk koridor.

Antara tinggalan lain termasuk bongkah batu yang memaparkan hiasan dalaman piramid berke­naan.

“Pasukan pengkaji menemui binaan blok batu dengan 10 barisan tulisan hieroglifik secara menegak yang menunjukkan reka bentuk dalaman piramid berkenaan.

“Piramid berkenaan dalam ke­adaan yang sangat baik dan kerja-kerja penggalian akan terus dilakukan bagi mendedahkan lebih banyak maklumat tentang saiz sebenar penemuan terbaharu itu,” katanya.

Mesir merupakan kawasan ta­madun terawal di dunia serta menjadi lokasi 123 piramid purba termasuk piramid terkenal di dunia, Giza, yang dibina sekitar 4,500 tahun dahulu.

Piramid Giza dibina ketika zaman pemerintahan Firaun Khufu yang juga anak lelaki dan pewaris takhta Raja Snefru. – AGENSI/AFP