Jurucakap polis wilayah Cebu, Debold Sinas berkata, sebanyak empat orang ditemukan masih hidup selepas bongkah batu dan pergerakan tanah menghempap berpuluh-puluh rumah berhampiran sebuah kuari batu kapur di Naga City.

“Tanah runtuh menimbus kira-kira 20 hingga 24 buah rumah dan semua penduduk terperangkap di kediaman masing-masing,” katanya.

Kaunselor bandar Cebu, Carmelino Cruz memberitahu saluran berita ANC, pasukan penyelamat menggiatkan usaha mengesan kira-kira 50 hingga 80 orang penduduk yang dipercayai terperangkap.

“Keadaan tanah masih tidak stabil dan pada setiap saat berlaku gerakan tanah,” katanya.

Menurut laporan media, pa­sukan penyelamat di Cebu masih mendengar tangisan dan jeritan daripada timbunan tanah.­

Seorang penduduk yang terselamat, Vhann Quisido berkata, dia masih tidur sebelum terdengar bunyi bising dan melihat bongkah batu berhenti di belakang rumahnya.

“Saya amat trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Hujan lebat sejak minggu lalu yang dibawa Taufan Mangkhut mengakibatkan lebih 100 tanah runtuh dengan kebanyakannya di kawasan pergunungan di wilayah Cordillera di Luzon.

Menurut polis, angka kematian akibat Taufan Mangkhut di seluruh negara mencecah angka 88 orang, kebanyakannya daripada tanah runtuh di Luzon.

Operasi menyelamat mang­sa masih dite­ruskan di Itogon dengan 21 mayat kebanyakannya pelombong ditemukan, semalam. – REUTERS