Ketua Konvensyen Ramsar, Martha Rojas Urrego berkata, kepupusan tanah bencah akan memberi impak kemusnahan yang besar termasuk perubahan iklim.

“Sekarang kita menghadapi krisis,” katanya semasa konvensyen tersebut yang turut me­nyaksikan penerbitan pertama laporan global, Global Wetland Outlook tentang keadaan tanah bencah di dunia.

Laporan setebal 88 muka surat itu turut mendedahkan kira-kira 35 peratus tanah bencah antaranya tasik, sungai, paya, tanah gambut selain kawasan pantai dan lagun, paya gambut dan terumbu karang, mulai le­nyap antara tahun 1970 dan 2015.

Menurut laporan berkenaan, hari ini, tanah bencah yang meliputi kawasan seluas lebih 12 juta kilometer persegi hilang dengan pantas sejak tahun 2000.

“Kita kini kehilangan tanah bencah tiga kali lebih pantas berbanding hutan,” Rojas Urrego yang menyifatkan laporan tersebut sebagai isyarat ‘ben­dera merah’.

Ketika dunia memberi tum­puan terha­dap pe­ning­­katan kepanasan global dan ke­sannya terhadap hutan dan laut, Konvensyen Ramsar menegaskan, keadaan tanah bencah masih ‘tidak dipedulikan’.

Laporan tersebut yang diedarkan pada Khamis lalu menjelang mesyuarat pihak berkenaan di Dubai pada bulan depan turut menekankan tentang pentingnya tanah bencah kepada hidupan di bumi.

Secara langsung atau tidak langsung, tanah bencah membekalkan air bersih utama dunia malah 40 peratus spesies hidupan menjadikan tanah bencah sebagai habitat mereka.

Laporan itu juga menyebut, tumbuhan dan haiwan yang menjadikan tanah bencah sebagai habitat kini terancam dan hampir suku daripadanya menghadapi risiko pupus.

Tanah bencah juga membekalkan sumber kehidupan kepada lebih satu bilion manusia selain mengurangkan banjir serta memulihara kawasan pantai.

Konvensyen Ramsar itu juga menekankan kepentingan tanah bencah untuk mengekang perubahan iklim selain menegaskan tanah gambut menyimpan dua kali lebih banyak karbon sama seperti hutan walaupun kawasan itu hanya meliputi tiga peratus muka bumi. – AFP