Setakat ini, 60 disahkan hilang dalam bencana itu.

Pihak berkuasa masih belum dapat memastikan jumlah sebenar penduduk yang masih hilang apabila gempa bumi berukuran 6.4 magnitud itu melanda bandar pelancongan ini lewat malam tadi.

Usaha-usaha menyelamat tertumpu kepada sebuah bangunan 12 tingkat Yun Tsui yang turut menempatkan sebuah restoran, kedai dan hostel.

Gempa bumi menyebabkan bangunan berkenaan condong manakala aras bawah bangunan musnah.

Menurut sebuah agensi kebakaran negara, tidak semua penghuni bangunan itu yang berjumlah 143 ditemukan malah pihak berkenaan tidak dapat memastikan sama ada mereka yang hilang itu terperangkap dalam bangunan atau sebaliknya.

Seorang penduduk tempatan, Lu Chih-son, 35, berkata, dia melihat seramai 20 orang berjaya diselamatkan dari bangunan yang condong itu.

“Saya melihat aras bawah bangunan mendap perlahan-lahan sehingga aras empat menjadi aras bawah bangunan itu,’’ katanya.

Chen Chih-wei, 80 berkata, dia sedang tidur ketika kejadian berlaku tetapi berjaya merangkak ke balkoni sambil menunggu bantuan.

“Ini merupakan gempa bumi paling kuat pernah saya rasakan sejak 50 tahun tinggal di Hualien,’’ katanya.

Dalam kejadian berkenaan, lima buah bangunan termasuk sebuah hospital dan hotel turut rosak teruk manakala banyak lebuh raya retak.

Pihak berkuasa berkata, seramai 830 mangsa ditempatkan di pusat perlindungan pada pagi ini dan kira-kira 1,900 rumah terputus bekalan elektrik.

Pegawai berkata, seramai 214 orang cedera manakala 117 berjaya diselamatkan dari bangunan yang rosak.

Hotel Marshal mengalami kerosakan teruk selepas aras bawahnya mendap akibat gempa bumi berkenaan manakala penginap termasuk pelancong asing berjaya diselamatkan.

Sebanyak 15 gegaran susulan direkodkan dan 100 gempa bumi kecil melanda kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Pada 2016, seramai 100 orang terkorban selepas gempa bumi melanda bandar Tainan dan kebanyakan mangsa merupakan penghuni pangsapuri 16 tingkat Wei-kuah. – AFP