Menurut Straits Times, seorang lelaki terbunuh manakala ibunya cedera selepas rumah mereka terbakar berpunca daripada api lilin yang dinyalakan mereka ekoran gangguan bekalan elektrik sela­ma beberapa jam itu, namun tiada kecederaan mahupun kematian lain dilaporkan.

“Saya bagi pihak pentadbiran, meminta maaf di atas ketidakselesaan dan kebimbangan yang timbul. Ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Ing-wen dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pusat Parti Progresif Demokratik di sini hari ini.

Gangguan bekalan elektrik di seluruh Taiwan yang berlanjutan selama beberapa jam semalam berpunca daripada kerosakan di Loji Elektrik Tatan di daerah Taoyuan yang merupakan kemudahan gas asli terbesar negara itu.

Kerosakan itu disebabkan oleh kecuaian manusia menjejaskan penghantaran 4.65 juta kilowatt elektrik dan kira-kira tujuh juta isi rumah di 17 buah bandar dan daerah di kepulauan Taiwan.

Bekalan elektrik berjaya dipu­lihkan kira-kira pukul 10 malam dan bekalan tenaga di seluruh wilayah kembali seperti sedia kala, pagi ini.

Muka hadapan akhbar China Times dalam pada itu mempersoalkan kecekapan pentadbiran Ing-wen kerana membenarkan situasi itu bertambah buruk selain ketegasan Presiden untuk menghentikan penggunaan tenaga nuklear.

Ini kerana terdapat banyak ama­ran tentang bekalan tenaga elektrik Taiwan sebelum gangguan bekalan itu berlaku.

Seminggu sebelum ini, syarikat utiliti nasional, Taiwan Power Co mengeluarkan amaran merah sebagai margin rizab operasi, perbezaan antara kuasa yang dihasilkan dan digunakan, jatuh ke tahap ke­dua terendah dalam rekod syarikat.

Sementara itu, gangguan be­ka­lan elektrik terbabit turut me­nyaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Taiwan, Lee Chih-kung mengumumkan peletakan jawatannya, keputusan yang dite­rima oleh Perdana Menteri, Lin Chuan.

Menurut kerajaan Taiwan, Chih-kung akan digantikan oleh timbalan beliau, Shen Jong-chin yang bertindak sebagai pemangku.

Gangguan itu bagaimanapun hanya memberikan kesan yang minimum terhadap perniagaan termasuk beberapa pengeluar teknologi terkemuka di dunia. – AGENSI