GAMBAR karakter kartun terkenal termasuk Mickey Mouse tidak akan menghiasi bilik darjah di semua tadika di Kaherah, Mesir. 

Namun, perkara berbeza berlaku di Kaherah apabila Gabenornya, Alaa Abdul Hamid Mohammed Marzouk mencadang­kan supaya kebanyakan tadika di sini menggantikan gambar karakter kartun terkenal seperti Mickey Mouse dengan imej-imej tokoh tentera Mesir.

BBC yang memetik laporan portal berita Youm7 menyatakan perubahan itu bertujuan mene­rapkan semangat patriotik dalam kalangan generasi kini, sekali gus meningkatkan pembangunan Mesir pada masa akan datang.

Kementerian Pendidikan da­lam satu kenyataan memaklumkan, satu jawatankuasa akan meneliti cadangan yang diusulkan oleh Alaa Abdul Halim, sama ada akan dikuatkuasakan di seluruh wilayah atau sebaliknya.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi sebelum ini pernah menyatakan cadangannya untuk meningkatkan profil ketenteraan dalam pelbagai sektor terutamanya pendidikan.

Namun, cadangan tersebut dikritik oleh pengguna internet dengan banyak pihak menggesa kerajaan mencari penyelesaian berhubung masalah kelas yang terlalu padat serta kaedah pe­ngajaran yang disifatkan ketinggalan zaman.

Seorang pengguna Twitter menulis: “Saya tidak tahu hendak cakap apa. Saya belajar membaca sebelum masuk ke sekolah kerana majalah Mickey.”

Sementara itu, terdapat juga pihak yang menyokong cadangan tersebut dengan menyatakan gene­rasi muda perlu terlebih dahulu mengenali tokoh-tokoh perjuangan di negara ini.