Namun Ketua Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia ke Syria, Rami Abdel Rahman memberitahu, kira-kira 62 penduduk tempatan terbunuh termasuk empat kanak-kanak dalam serangan tersebut yang dilancarkan melalui pesawat Rusia.

Semalam, tentera keraja­an menguasai bandar Beit Sawa, al-Ashaari dan kawasan berdekatan.

Serangan bertali arus dilancarkan itu turut mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa kerajaan Syria sedang merancang ‘malapetaka’.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Rusia menegaskan operasi antikeganasan yang dilancarkan oleh tentera Syria di Ghouta Timur tidak melanggar sebarang resolusi antarabangsa.

Menerusi sidang akhbar yang diadakan hari ini, jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova berkata, serangan yang dilancarkan oleh tentera Syria di wilayah tersebut adalah sebagai sebahagian operasi untuk me­ngusir pengganas di kawasan terbabit.

Jelas Zakharova, operasi itu tidak bertentangan dengan peruntukan resolusi 2401 yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Sehingga kini, seramai 905 penduduk dilaporkan terkorban sejak tentera Syria yang disokong oleh Rusia melancarkan kempen menyerang Ghouta Timur pada 18 Februari lalu.

Pengeboman juga dilihat terus berlaku walaupun UNSC sebelum ini menuntut gencatan senjata selama sebulan dilaksanakan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, konvoi bantuan kedua yang cuba memasuki Ghouta Timur hari ini terpaksa menangguhkan rancangan tersebut ekoran situasi semasa semakin meruncing di wilayah itu.

Terdahulu, konvoi terbabit cuba memasuki wilayah itu selepas kira-kira 400,000 orang awam dikatakan masih terpe­rangkap.

Isnin lalu, sebanyak 46 trak memasuki wilayah terbabit buat kali pertama sejak sera­ngan dilancarkan namun hampir separuh bantuan makanan serta beberapa bekalan perubatan serta kesihatan tidak dapat dihantar.

Kumpulan pemberontak Syria di Ghouta Timur sebelum ini bertekad untuk mempertahankan wilayah ber­kenaan dan tidak akan berunding berhubung sebarang pengunduran dari kawasan itu yang dicadangkan oleh Rusia.

Rusia menawarkan jalan keluar yang selamat kepada pemberontak dari Ghouta Timur bersama-sama ahli keluarga mereka. –AFP/AGENSI