Menurut sumber ketenteraan AS, pertempuran itu berlaku selepas kira-kira 500 anggota tentera pro-Syria yang dilengkapi dengan kereta kebal, bom mortar dan sistem pelancar roket menyerang markas utama Tentera Demokratik Syria (SDF).

“Kami percaya pasukan tentera pro-Syria cuba merampas kawasan Kusham yang sudah dibebaskan daripada cengkaman kumpulan Daesh pada September tahun lalu. Medan minyak yang terdapat di Kusham sebelum ini menjadi sumber dana utama kepada Daesh dari tahun 2014 hingga tahun lalu,” menurut sumber berkenaan.

Pertempuran itu juga menyaksikan seorang anggota SDF cede­ra manakala tiada anggota tentera AS dilaporkan cedera atau terkorban.

Selain itu, sumber ter­sebut turut menyatakan bahawa Rusia sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran anggota SDF di kawasan sasaran sebelum serangan tentera pro-Syria digagalkan.

Kerajaan Rusia mengutuk serangan yang dilakukan oleh tentera pakatan AS dan SDF yang disifatkan sebagai satu pencerobohan.

Agensi berita Interfax yang memetik Ahli Parlimen, Franz Klintsevich berkata, serangan tersebut tidak mengikut norma undang-undang dan merupakan satu pencerobohan.

Dalam pada itu, Al-Jazeera melaporkan, sekurang-kurangnya 180 orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Syria dan Rusia di wilayah Ghouta Timur dan Idlib bagi tempoh 48 jam lalu.

Pada Isnin lalu, 30 orang awam terkorban dalam serangan udara di Ghouta Timur diikuti 80 maut keesokan harinya dan semalam, 26 lagi terbunuh.

Sekurang-kurangnya 22 kanak-kanak dan 21 wanita merupakan yang maut dalam serangan berkenaan.

“Banyak kediaman musnah dengan penduduk masih berteduh dalam runtuhan bangunan,” kata seorang penduduk dan aktivis, Abu Salem al-Shami ketika dihubungi dari Ghouta Timur, kawasan yang dikuasai puak pemberontak sejak 2013.

Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) memberitahu, serangan pada kelmarin merupakan yang terburuk di Syria sejak serangan kimia pada April tahun lalu di Idlib apabila lebih 80 terkorban.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, hampir 12 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Ghouta Timur menderita kekurangan zat, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak berlakunya konflik di Syria.

Se­kurang-kurangnya lima da­­ripada 130 kanak-kanak me­ninggal dunia akibat kekura­ngan bekalan perubatan. – REUTERS/AGENSI