BBC melaporkan, draf laporan itu sudah dihantar ke Majlis Keselamatan PBB (UNCHR) dan dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

Kerajaan Singapura dalam reaksinya menyatakan bahawa pihaknya menyedari tentang kes tersebut dan telah memulakan siasatan.

PBB dan Singapura sebelum ini mengharamkan penjualan pelbagai produk mewah kepada Korea Utara.

Pakar analisis berpendapat, jika dua buah syarikat tersebut terbukti melanggar sekatan PBB, maka timbul persoalan bahawa negara lain di Asia pun turut berbuat demikian.

Antara barangan mewah yang dikatakan dibekal oleh dua syarikat tersebut ke Korea Utara termasuklah wain serta ‘spirit’ sehingga Julai tahun lalu.

Di bawah sekatan PBB, adalah satu kesalahan untuk membekalkan produk mewah ke Korea Utara sejak 2006 dan Singapura sudah melaksanakan sekatan itu sejak beberapa tahun lalu.

Kedua-dua syarikat yang dimiliki sepasang adik-beradik iaitu OCN dan T Specialist menafikan draf laporan berkenaan.

Draf laporan itu juga menyebut antara 2011 dan 2014, terdapat transaksi bernilai lebih AS$2 juta (RM7.8 juta) dan dipercayai adalah hasil penjualan barangan mewah ke Korea Utara yang dilakukan oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Singapura juga mengharam­kan institusi kewangan negara itu menyediakan kemudahan kewangan atau perkhidmatan perdagangan kepada Korea Uta­ra.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menyekat syarikat Singapura Broadcom untuk mengambil alih pengeluar cip terkemuka, Qualcomm bernilai AS$140 bilion atas alasan ke­selamatan negara itu.

Dalam perkembangan lain, White House yakin bahawa pertemuan antara Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un akan berhasil biarpun negara komunis itu sehingga kini masih berdiam diri.

Jurucakap White House, Sarah Sanders menolak andaian bahawa tindakan Korea Utara berisiko untuk menggagalkan pertemuan bersejarah itu.

“Tawaran sudah dibuat dan kami menerimanya. Korea Utara juga telah membuat beberapa perjanjian dan kami harap mereka berpegang pada janji dan rundingan yang dirancang akan berjalan seperti diharapkan,” katanya.

Korea Selatan semalam me­nyatakan bahawa sikap berdiam diri yang dilakukan oleh Korea Utara ketika ini mungkin sebagai langkah berhati-hati sebelum rundingan dilakukan. – AGENSI