Bagaimanapun, Midamar Corp. yang berpangkalan di sini menafikan dakwaan mereka menjual daging lembu bernilai AS$4.9 juta (RM17.01 juta) kepada pelanggan di Malaysia, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa buah negara lain tidak mengikuti prosedur halal yang terdapat pada label dan iklan yang dikeluarkan.

Midamar Corp. dan dua pengarahnya iaitu dua adik-beradik, Jalel dan Yahya Aossey didakwa atas kesalahan bersubahat untuk membuat atau menggunakan kenyataan dan dokumen palsu, menjual jenama daging yang salah serta membuat tuntutan ganti rugi palsu.

Turut didakwa adalah sebuah lagi pertubuhan yang diusahakan pasangan adik-beradik berkenaan iaitu Islamic Services of America, salah satu pertubuhan yang mendapat kelulusan untuk mengeksport produk mereka ke Malaysia, Indonesia, Kuwait, Arab Saudi dan UAE.

Defenden didakwa dengan 91 tuduhan lain atas kesalahan membuat kenyataan palsu pada sijil eksport, membuat tuntutan ganti rugi palsu dan pengubahan wang haram.

Pasangan adik-beradik itu, yang masing-masing berusia 40 dan 44 tahun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan selepas kes mereka disebut di Mahkamah Persekutuan di Cedar Rapids.

Peguam bela, Michael Lahammer berkata, Midamar Corp. tetap akan mempertahankan pendirian mereka berdasarkan ‘rekod hebat’ mereka menghantar serta mengimport produk berkualiti selama 40 tahun dan akan menentang setiap dakwaan yang dilemparkan.

“Kerajaan tidak mempunyai hak untuk mengawal apa-apa perkara berkaitan agama. Dakwaan terhadap penipuan status halal adalah disebabkan polisi ‘satu saiz untuk semua’ yang diamalkan oleh kerajaan,” jelas Lahammer. – AP