Menteri Luar, Margot Wallstrom (gambar) berkata, kerajaan membuat keputusan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Ia merupakan satu langkah penting untuk mengesahkan hak Palestin menentukan masa depan mereka,’’ katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Dagens Nyheter.

Perdana Menteri, Stefan Lofven dalam ucaptamanya di Parlimen pada Oktober lalu menyatakan bahawa kerajaan Sweden pimpinan Parti Sosial Demokrat akan menyampaikan satu manifesto untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, tindakan yang menerima kritikan daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Parlimen Britain dan Ireland sebelum ini turut meluluskan usul simbolik mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara namun ia tidak mempengaruhi dasar negara tersebut terhadap isu Palestin.

Wallstrom berkata, pengiktirafan itu adalah satu sumbangan kepada rantau tersebut, demi masa depan yang lebih baik yang selama ini diselubungi rundingan tertunda, kemusnahan dan kekecewaan.

“Ada pihak akan menyatakan pengiktirafan ini mungkin terlalu awal. Bagi saya, keputusan ini sudah terlalu lambat,’’ katanya.

Beliau berkata, tindakan Sweden adalah bertujuan untuk menyokong kesederhanaan Palestin yang membolehkan mereka mempunyai status sama dengan Israel dalam rundingan damai, selain memberi harapan kepada golongan muda kedua-dua negara bertelagah.

“Anggota Kesatuan Eropah (EU) pada 2009 menyatakan kesediaan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara apabila keadaan bersesuaian.

“Sweden bersedia mengetuai tindakan ini. Kami berharap ia akan menunjukkan jalan kepada pihak lain,’’ katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 2012, namun EU dan kebanyakan negara Eropah masih belum berbuat demikian. – Reuters