Pemimpin Parti Sosial Demokrat, Stefan Loefven yang memenangi pilihan raya umum lalu berkata, Sweden menyokong supaya konflik antara Palestin dan Israel ditamatkan segera.

"Penyelesaian konflik antara Palestin dan Israel memerlukan pengiktirafan secara bersama dan kemahuan daripada kedua-dua belah pihak untuk mewujudkan keamanan.

"Perkara seperti ini perlu dilakukan bagi menghormati tuntutan rakyat Palestin dan Israel yang berhak menentukan nasib dan keselamatan mereka," jelas Loefven ketika berucap di Parlimen.

Tindakan Sweden mendapat reaksi negatif daripada Washington yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘tidak matang’, manakala Palestin menyifatkan pendirian Sweden sebaga satu tindakan ‘berani’ dan menggesa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain mengikut jejak langkah Sweden itu.

"Kami percaya pengiktirafan daripada negara-negara dunia ke atas Palestin merupakan satu tindakan tidak matang. Pengiktirafan diberikan melalui rundingan, resolusi isu-isu dan pengiktirafan bersama oleh kedua-dua pihak," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki.

Sebanyak tujuh negara EU di timur Eropah dan negara-negara Mediterranean sudah mengiktiraf Palestin termasuk Bulgaria, Cyprus, Hungary, Malta, Poland and Romania.

Sementara itu, Menteri Luar Sweden, Margot Wallstroem berkata, negara berkenaan tidak berseorangan dalam isu ini kerana hampir 130 buah negara sudah mengiktiraf kewujudan Palestin. - AFP